Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Daerah Yan sememangnya kaya dengan pelbagai tempat menarik untuk dilawati. Dari segi aspek reakrasi dan pelancongan boleh dikategorikan kepada beberapa aspek iaitu ECO-Tourism (alam semulajadi), Sport-Tourism (Sukan), AGRO-Tourism (pertanian,penternakan), EDU-Tourism (pembelajaran ilmiah), Village/Cultural –Tourism (budaya/warisan), Education- Tourism (pendidikan alam sekitar) dan juga Food-Tourism(makanan). Sempena dengan tahun melawat Malaysia yang dianjurkan pada setiap tahun. Tahun 2016 merupakan tahun melawat Kedah, "Discover Kedah 2016". Tempat – tempat yang berada di dalam Daerah Yan tersedia untuk dikunjungi. Antara pecahan diatas adalah:-
A- ECO-TOURISM
1. Air Terjun Titi Hayun
Terletak 3 km dari pekan Yan atau 40 km dari Alor Star. Ianya dihubungkan dengan rangkaian jalanraya yang strategik dan memudahkan pengunjung untuk melawatinya. Mendapat nama bersempena terdapatnya sebatang titi gantung berdekatan kawasan peranginan tersebut. Ianya mempunyai kedudukan strategik kerana berdekatan dengan permulaan Tangga Kenari 1000 Tahun. Terdapatnya kemudahan rekreasi untuk pengunjung seperti gerai-gerai menjual makanan, kawasan meletak kenderaan yang luas, pondok rehat, tempat persalinan disamping panorama persekitaran yang menawan hati para pengunjung. Juga menyediakan denai-denai hutan sepanjang 1 km untuk menuju ke air terjun Puteri Mandi yang mempunyai mitosnya yang tersendiri.
2. Air terjun Batu Hampar
Lokasi di kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Jerai dengan keluasan 4 ha. Letaknya berhampiran Hutan Simpanan Hutan Dara dan sesuai untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Jaraknya 3.5 km dari Pekan Yan. Jenis Hutan Dipterokarpa Pamah boleh didapati pelbagai flora dan fauna. Ketinggiannya 200-250m a.p.l . Di sini mempunyai sebuah Istana Hinggap KDYMM Sultan Kedah iaitu Istana Darul Aman. Mempunyai denai hutan (jungle track) sejauh 2km.
3. Air Terjun Seri Perigi
Lokasi di kompartmen 21 Hutan Simpan Gunung Jerai dengan keluasan 4 ha. Jaraknya 5 km dari Pekan Yan. Perjalanan ke sini amat mempersonakan dengan pemandangan sawah padi, perkampungan tradisional Melayu dan dusun buah-buahan. Jenis Hutan Dipterokarpa Pamah boleh didapati pelbagai flora dan fauna. Ketinggiannya 100m a.p.l . Di sini mempunyai air terjun yang tertinggi di Negeri Kedah melebehi 100m. Mempunyai denai hutan (jungle Track) sejauh 2km. Terdapat batu dinding yang sesuai untuk aktiviti lasak dan mencabar.
4. Pantai Murni
Terletak 500m dari Pekan Yan. Disini dapat merasai suasana pantai yang mengasyikkan bersama hembusan bayu laut yang nyaman serta dilengkapi fasiliti seperti gerai makan, wakaf, padang permainan dan surau. Pengunjung juga dapat menikmati panorama pulau-pulau seperti Pulau Bidan, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Bunting serta pemandangan indah matahari terbenan pada waktu senja.
5. Pulau Songsong
Letaknya di Mukim Yan dan mempunyai keluasan 62 ekar dengan ketinggian 118 meter. Jarak Pulau Songsong dari Kuala Sungai Udang adalah lebih kurang 8 km. Di utaranya ialah Pulau Bunting manakala di selatan mempunyai Pulau Telor dan Pulau Bidan. Pulau Songsong mempunyai pantai yang sebahagian besarnya terdiri dari batu berwarna merah yang menutupi sebahagian besar kawasan pantai.
6. Pulau Telor
Pulau Telor terletak di kawasan Mukim Yan dan mempunyai keluasan 11.9 ekar. Ketinggian pulau ini adalah 68 meter serta jaraknya dari Kuala Sungai Yan lebih kurang 9 kilometer. Ia adalah tempat persinggahan penyu bertelor terutama bulan Februari hingga Mei (Info daripada nelayan tempatan).
7. Gunung Jerai
Melihat Gunung Jerai setinggi 1,217 meter dari jauh seolah-olah raksasa yang mengawal keseluruhan negeri itu. Dengan suhu di antara 19 hingga 24 darjah celcius, ia adalah kawasan tarikan pelancong terutama mereka yang ingin bersantai dan menikmati udara daripada kawasan tanah tinggi dan merupakan Gunung yang tertinggi di Negeri Kedah Darul Aman. Peranginan Gunung Jerai menyediakan Chalet, Kafetaria, Bilik Seminar dsb.Terdapatnya sebuah Muzium Perhutanan Negeri Kedah yang terletak di pintu masuk hutan lipur tersebut dimana mempamerkan pelbagai khazanah dan maklumat perhutanan.Disini juga disediakan kemudahan meletak kenderaan, pondok-pondok rehat, anak tangga serta tapak perkemahan yang luas bagi tujuan rekreasi. Selain itu, ia memiliki beberapa keunikan dan mitos yang menjadi misteri sehinggi kini seperti Perigi Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh, Sejadah Tok Sheikh dan Batu Kapal Gunung setinggi 1200 meter a.m.l. terbentuk dari jenis batu-batu quarzite dan granite. Ia juga kaya dengan spisis tumbuhan terkenal dengan memiliki "Major Forest Types" Negara seperti Periuk Kera, Paku Pakis, Cinamaki, Orkid dsb.
B- SPORT-TOURISM
1. Paragliding
Gunung Jerai yang disajikan panorama indah telah menarik minat ahli sukan luncur udara. Kira-kira 1200 kaki dari aras laut adalah ketinggian bagi tapak 'Tack Off' para sukan luncur udara. 'Take Off' Gunung Jerai adalah yang terbaik di Semenanjung Malaysia. Sebarang keterangan lanjut boleh melawati facebook page https://www.facebook.com/Gunung-Jerai-Paragliding-Park-Official-1480450015563848/?fref=ts atau boleh menghubungi 012-8151596 (Asnawi Mohd. Hassan) atau 012-5616170 (Anuar Omar).
2. Downhill/ Enduro Mountain Bike(MTB) Jerai Hill
Gunung Jerai juga mempunyai denai dan laluan hutan mencabar untuk aktiviti sukan lasak. Laluan trek Gunung Jerai ke Seri Perigi sejauh 6 km merngambil masa 2 jam perjalanan. Manakala laluan Kg. Setar 6km mengambil masa 1.5 jam dan Titi Hayun 8km mengambil masa kira-kira 3 jam. Sebarang keterangan lanjut sila hubungi En. Md. Nasron Md. Noor (012-5846288)
3. Jungle Tracking Tangga Kenari -1000 Tahun
Letaknya di Peranginan Titi Hayun dan jaraknya 3.4 km dari Pekan Yan. Tercatat dalam lipatan sejarah pada 28 April 1997 kerja-kerja merintis dan membersih laluan dimulakan. Ini adalah atas ilham YBhg Tan Seri Dato' Seri Sanusi bin Junid sebagai Menteri Besar ketika itu berkonsep Mental, Jasad dan Roh (MENJARO). Sebanyak 1334 anak tangga dibina bermula dari Titi Hayun hingga ke The Regency Jerai Hill Resort (Kedah Resort ketika itu) melalui denai hutan kompartmen 20 dan 21 Hutan simpan Gunung Jerai sejauh 5 km. Pendakian mengambil masa 3 hingga 4 jam.
4. Yan Fishing Safari
Daerah Yan mempunyai gugusan pulau iaitu Pulau Songsong, Pulau Telor, Pulau Bidan, Pulau Bunting dan TUAS untuk "Kaki Pancing" Mereka terdiri dari luar negeri Kedah boleh menginap/ menyewa Chalet/Homestays di sekitar dan pergerakan ke Tuas boleh melalui pintu Kuala Sungai Udang atau Dulang Kechil dengan kadar harga berpatutan.
C- AGRO-TOURISM
1. Batas Ubi, Deer Farm
Ladang seluas 5 ekar menempatkan rusa yang diternak sendiri sejak Mei 2012 sebanyak 10 ekor dan dibiakkan sehingga kini hampir 70 ekor rusa yang terdapat di ladang tersebut oleh sebuah keluarga yang menetap di Kg Batas Ubi. Lading ini, dibuka kepada pengunjung pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Produk rusa juga dijual jika terdapat stok dengan harga yang berpatutan. Boleh kunjungi fb page https://www.facebook.com/Batas-Ubi-DEER-Farm-170640296449803/photos/ untuk lebih maklumat dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi : En. Mazlan di talian 012-4313635
D- EDU-TOURISM
1. Sekolah Menengah Agama Fauzi/ Pondok Fauzi
Diasaskan pada 1971 oleh Almarhum Tuan Hj. Ahmed Fauzi bin Hj. Mustafa diatas permintaan masyarakat untuk meneruskan kesinambungan pengajian ilmu-ilmu agama. Disini diterapkan 2 sistem pembelajaran iaitu korikulum pendidikan nasional dan pengajian pondok. Sistem Pondok Tradisional mempunyai seramai 238 orang yang tinggal di 119 unit pondok. (Kedah 234, Selangor 2, Negeri Sembilan 1, Johor 1)
E- VILLAGE/CULTURAL -TOURISM
1. Homestay Kg. Raga
Terletak lebih kurang 1.5 km dari Pekan Yan di pinggir Hutan Simpan Gunung Jerai. Dibuka pada 1720 oleh sebuah keluarga Melayu. Kemudian dibangun oleh satu keluarga dikenali sebagai 'Tok Akil'. Kampong diasaskan oleh sebuah keluarga maka ianya dinamakan RAGA. Tok Akil meninggal dunia pada 1920 dalam peristiwa bukit reban iaitu tragedi banjir besar ketika usianya 130 tahun Pada tahun 1995 Kg. Raga menerima anugerah sebagai Sungai Berpotensi Pelancongan Peringkat Kebangsaan. Terletak 40KM dari Alor Star , ibu negeri Kedah dan 38 KM dari Sungai Petani. Ia meliputi tanah seluas 6 Kilometer persegi bersempadan dengan Kampung Permatang Chengal di sebelah barat , Kampung Permatang Keramat , Kampung Bukit Belida di Selatan dan Kampung Jawa di Utara dan Gunung Jerai di sebelah Timur. Kampung Raga juga mempunyai potensi yang tinggi untuk dijadikan sebagai "Malaysia my second home". Dengan mempunyai kemudahan seperti kawasan riadah dan penginapan disamping pembabitan penduduk kampung dalam mengadakan aktiviti tradisional seperti kenduri perkahwinan, persembahan kebudayaan mampu menarik minat pelancong asing untuk lebih mengenali adat dan budaya masyarakat melayu.
Antara aktiviti-aktiviti lain yang menjadi kebiasaan dan berlangsung di sini ialah:
• Program anak angkat
• Gotong-royong
• Persembahan Kebudayaan
• Program Berkhatan beramai-ramai
• Anjuran Korban
Kampung Raga juga pernah menerima kunjungan dari pelancong luar Negara seperti Singapura, Korea dan Filipina. Para pengunjung yang ingin datang ke sini bolehlah melihat pakej-pakej yang ditawarkan di laman web http://homestaykgraga.com/bm/ . Keterangan Lanjut Hubungi :- Haji Fisal Hj. Tahir (013-4668191)
2. Kampung Acheh
Terdapat sebuah perkampungan Acheh di Pekan Yan yang diberi nama "Kampung Acheh" yang dihuni oleh lebih kurang 60 buah keluarga yang mengamalkan kebudayaan Melayu Acheh secara turun-temurun. Masyarakat Acheh juga kaya dengan budaya yang tertentu seperti: Makanan asasi masyarakat Acheh ialah Buah Belimbing Buluh (Asam Sunti), Buah Minjau dan Buah Munggai dan masakan yang digemari masyarakat Acheh ialah Masak Sayur Rumpai (Peli'u), Rendang Asam dan Daging Masak Nangka manakala kuih kegemaran masyarakat Acheh ialah Jimpan. Masyarakat Acheh mempunyai kepercayaan terhadap sesuatu tarikh atau bulan seperti Bulan Muharram yang dikenali sebagai bulan Hassan Hussin, Bulan Safar adalah bulan menolak bala. Antara tokoh-tokoh masyarakat Acheh di Yan ialah Haji Nyak Gam(Ahli Dewan Negeri Kedah), Hanafiah Nyak Hussin(Ahli Parlimen),Tengku Mohd Dahan(Pengadil Tilawah Al-Quran) Tan Seri Sanusi Junid (Menteri) dan Tan Seri Badruddin Amiruldin (PengerusiFAMA/Ahli Parlimen/Pengerusi Tetap UMNO Malasyia)).
F- EDUCATION-TOURISM
Pelancongan yang berteraskan "Edu-Tourism" melibatkan pihak-pihak perseorangan dan swasta. Pada masa kini Daerah Yan mempunyai beberapa buah kem / Nature Park seperti Kem Kenari Nature Park di Kg. Acheh, Kem Palas, Alang Kenari Chalet, Puteri Ayu Chalet, KAMC Managemant Centre, Neo Era dan D'Yan Chalet di Jalan Titi Hayun yang menawarkan aktiviti-aktiviti seperti: Perkhemahan Bina Semangat, Kem Kecemerlangan Pendidikan Pelajar dan Aktiviti Lasak seperti River Cross, Survival dan Fliying Fox.
G- FOOD-TOURISM
1. Restoran Bersila
Restoran ini menyediakan jualan juadah lauk pauk berasaskan kampung. Menu utama ialah Gulai Itik, dan ulaman. Berkongsepkan bersila sambil menikmati juadah mengimbau kembali nostalgia tradisonal pada zaman dahulu. Waktu operasi pada pukul 11.30 pagi hingga 3.00 petang. Beralamat di Jalan Yan, Titi Serong, Yan, Kedah. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 012-5978469 (Pn. Yati)
2. Laksa Makndak MakYah
Bagi penggemar laksa, Kedai Mak Yah Laksa menyajikan laksa ikan yang dibuat hasil ramuan turun temurun. Tidak lengkap bila menjamah laksa tanpa cendol pulut yang disediakan sebagai pakej pelengkap hidangan. Perkhidmatan catering laksa juga disediakan oleh kedai Mak Yah Laksa.
3. Restoran Ombak Lara
Kepada peminat udang. Boleh dapatkan di sini. Terletak di Kg. Kuala Dulang Kechil. Menu kegemaran pelanggan adalah mee udang. Udang yang besar dan segar digunakan di dalam masakan beliau. Harga pula tertakluk kepada saiz udang yang dipilih. Selain itu juga, makanan goreng juga boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan. Dibuka setiap hari pada pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam.
4. Pasembor Special Yan
Pasembor special Yan boleh didapati di bagunan Arked MDY bersebelahan dengan pasar basah Yan Kechil. Harga yang berpatutan dan boleh menambah mengikut citarasa sendiri seperti, ayam, paru, limpa, daging, ikan goreng dan lain-lain. Dibuka pada pukul 5.00 petang hingga 10.00 malam setiap hari kecuali hari jumaat.